Memperkasakan Kehidupan Komuniti Bandar

Kongsikan artikel ini

Rumusan

Keinginan untuk mendapatkan kehidupan yang baik menyumbangkan kepada penghijrahan golongan dari luar bandar ke bandar. Kehidupan di bandar seringkali dikaitkan dengan keadaan kesihatan yang baik, peningkatan peluang pekerjaan, peluang pendidikan yang lebih cerah dan akses kepada kemudahan infrastruktur. Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan bandar menjadi semakin pesat serta tidak dirancang menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan dalam pelbagai dimensi kehidupan sehingga mewujudkan golongan miskin bandar. Ketidakseimbangan yang berlaku tidak hanya tertumpu kepada aspek kewangan semata, bahkan ianya meliputi aspek bukan kewangan seperti pendidikan, kesihatan, hubungan sosial dan sebagainya. Perkara ini merupakan masalah global yang memerlukan satu mekanisme atau dasar yang komprehensif serta bertepatan dengan konteks semasa agar permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan dengan sewajarnya. Oleh itu, kajian ini bermatlamat untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas mengenai senario semasa miskin bandar dalam usaha meningkatkan taraf hidup untuk mencapai kesejahteraan dalam pelbagai aspek kehidupan komuniti miskin bandar. Bertepatan dengan matlamat tersebut, kajian ini telah menggariskan dua objektif utama iaitu: (1) mengenal pasti status dan statistik kemiskinan bandar di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dan (2) menganalisis permasalahan serta cabaran yang dihadapi oleh komuniti miskin bandar. Bagi mencapai objektif tersebut, kajian ini mengaplikasikan pendekatan kajian gabungan yang dilaksanakan melalui kajian lapangan di sembilan belas kawasan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya sahaja. Kajian ini juga hanya menumpukan kepada kemiskinan situasi (situational poverty). Persampelan bertujuan digunakan untuk kaedah kaji selidik lapangan yang memperolehi 434 orang responden. Dapatan kajian ini menghasilkan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (Multidimensional Poverty Index) yang memberikan gambaran yang lebih jelas dan menyeluruh mengenai senario semasa miskin bandar kerana pengukurannya meliputi pelbagai dimensi ketersisihan. Selain itu, kajian ini juga mengenal pasti enam permasalahan utama komuniti miskin bandar iaitu: (1) perlindungan sosial, (2) pendapatan bulanan kasar isi rumah, (3) beban kewangan dan hutang, (4) hilang keupayaan dan sakit kronik, (5) tahun persekolahan dan (6) pengambilan makanan. Akhirnya kajian ini menyimpulkan bahawa pengenalpastian masalah utama dilihat sebagai tunjang penting dalam menentukan keberkesanan dasar yang dirangka serta program yang dibentuk untuk menoktahkan masalah kemiskinan bandar. Sumbangan kajian ini dilihat dalam kapasiti penyediaan Model Solusi Miskin Bandar yang bermanfaat untuk memperkasakan kehidupan komuniti miskin bandar yang berdaya tahan dan mempunyai persediaan yang mencukupi untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Penyelidik

Ainullotfi Abdul Latif
Faridah Maludin
Kamsani Nasir
Nur ‘Adilah Hassan

Muat Turun