Indeks Malaysia Negara Rahmah 2022

Kongsikan artikel ini

Rumusan

Pendekatan Negara Rahmah adalah usaha untuk membangun sebuah negara dalam bentuk baharu yang maju, makmur, aman dan damai yang ditadbir oleh pimpinan yang kompeten, cekap, berkebolehan dan berintegriti, melaksanakan tadbir urus yang baik, keadaan dan kehidupan masyarakat yang harmoni, sejahtera dan bertamadun, pelaksanaan dasar dan undang-undang yang adil dan saksama merentas sempadan agama, etnik dan budaya, serta berperanan aktif di peringkat antarabangsa. Pembangunan negara secara holistik ini boleh dilihat daripada gabungan 12 Ciri Negara Rahmah yang telah dibangunkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Untuk menilai pencapaian dan kemajuan pembangunan negara ini melalui 12 ciri tersebut, satu kayu ukur yang dikenali sebagai Indeks Negara Rahmah telah dibangunkan bersama beberapa wakil daripada pertubuhan sivil, masyarakat madani, wakil daripada pelbagai agama, etnik serta pihak akademia dalam pelbagai bidang. Inventori indeks ini adalah dalam Bahasa Melayu yang mengandungi 12 Ciri Negara Rahmah, 30 indikator pencapaian dan 103 item bersama 10 soalan mengenai profil responden.
Tiga ciri yang mendapat skor tertinggi adalah Institusi Keluarga Yang Utuh (7.66), Hubungan Etnik Dan Penganut Agama Yang Harmoni (7.40), dan Masyarakat Yang Berilmu, Berakhlak Dan Penyayang (7.32). Manakala, ciri-ciri yang mendapat skor terendah adalah Tadbir Urus Yang Baik (5.68), Ekonomi Yang Mampan (5.78), Kepimpinan Yang Kompeten Dan Berintegriti (5.80), dan Agihan Kekayaan Yang Saksama (5.95).
Secara umumnya, ciri-ciri berkaitan dengan rakyat mendapat skor yang lebih tinggi berbanding dengan ciri-ciri berkaitan pemimpin dan tadbir urus negara. Kesemua ciri kecuali Ciri 12 Menerajui Usaha Keamanan Dan Kesejahteraan Sejagat, telah menunjukkan peningkatan skor antara 0.1 hingga 0.8 mata. Ciri 12 ini menguncup dari 6.78 (IMNR21) kepada 6.66 (IMNR22), mungkin disebabkan kurangnya kelantangan Malaysia di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan isu-isu global.
Peningkatan keseluruhan skor IMNR22 (6.47) berbanding skor IMNR21 (6.09), menunjukkan pergerakan positif negara ke arah mencapai wawasan menjadi sebuah negara rahmah pada tahun 2035 boleh menjadi satu kenyataan.
Semoga dapatan IMNR22 ini akan memberikan pendedahan kepada semua pihak berkepentingan khususnya kerajaan dan pucuk pimpinannya, berkaitan tanggapan semasa masyarakat umum terhadap situasi semasa negara, untuk seterusnya meningkatkan lagi usaha-usaha penambahbaikan bagi setiap 12 Ciri Negara Rahmah.

Penyelidik

Dr Hj. Mustafa Din Subari (Ketua)
Hj. Rozalli Hashim
Dr Diana Katiman
Sr Hj. Mohd Khairudin Abd. Halim
Prof. Dr Ahmad Hariza Hashim
Sr Dr Noordin Ahmad
Dr Maisarah Tajuddin
Cik Siti Zaharah Yahya

Muat Turun