Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals (SDG)) telah menggariskan berkaitan ‘societal harmony and happiness’ yang menekankan peri pentingnya masyarakat yang harmoni dan bahagia. Khususnya dalam SDG 3, ‘good health and well-being’ menekankan bukan sahaja kesihatan yang baik, malah kesejahteraan masyarakat juga. Ini kerana masyarakat sejahtera itu penting dalam merealisasikan proses pembangunan negara. Sesebuah rumah tangga pula adalah komponen kecil yang membentuk masyarakat. Jika rumah tangga ini sejahtera, ia boleh membentuk keluarga yang sejahtera justeru masyarakat yang sejahtera. Namun, hakikatnya pada hari ini terdapat pelbagai cabaran untuk mengekalkan kesejahteraan. Antaranya apabila peranan suami dan isteri telah berubah mengikut keperluan keadaan zaman. Misalnya, isteri pada hari ini bukan lagi hanya duduk di rumah menguruskan hal domestik, namun isteri juga keluar bekerja menyumbang kepada isi pendapatan rumah. Walaupun Islam telah menggariskan peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh kedua-dua pihak agar ia saling lengkap melengkapi, salah faham terhadap peranan tradisional suami isteri dalam kerangka masyarakat moden ini kerap mencetuskan krisis rumahtangga yang menyebabkan terjejasnya kesejahteraan rumah tangga. Pelbagai cabaran lain turut menguji pasangan dwi-peranan terutama yang hidup di tempat yang mempunyai kepadatan penduduk bekerja yang tinggi. Oleh hal demikian, pemahaman tentang peranan dan tanggungjawab suami dan isteri hari ini haruslah jelas dan terlaksana. Keseimbangan dalam peranan di tempat kerja dan keluarga juga penting untuk memastikan kehidupan harian dalam keadaan terjaga demi kesejahteraan rumah tangga. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk memenuhi beberapa objektif seperti berikut; [1] mengukur tahap kejelasan dwi-peranan, penglibatan dwi-peranan dan keseimbangan kerja-keluarga bagi pasangan suami-isteri berkerjaya, [2] melihat sejauh mana kejelasan dwi-peranan, penglibatan dwi-peranan dan keseimbangan kerja-keluarga dapat menyumbang kepada kesejahteraan rumah tangga suami-isteri berkerjaya, [3] mengkaji hubungan antara kejelasan dwi-peranan, penglibatan dwi-peranan dan keseimbangan kerja-keluarga dengan kesejahteraan rumah tangga suami-isteri berkerjaya, [4] mengenal pasti faktor-faktor lain yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan rumah tangga suami-isteri berkerjaya, dan [5] mengemukakan cadangan untuk mengukuhkan kesejahteraan rumah tangga Muslim bagi suami-isteri berkerjaya (dwi-peranan) di Lembah Klang. Kajian ini menggunakan kaedah campuran (mixed method) yang dilaksanakan dalam dua fasa iaitu; fasa pertama menggunakan borang soal selidik dalam talian, dan fasa kedua melalui temu bual dan perbincangan kumpulan fokus. Sebanyak 119 data digunakan dalam analisis pada fasa pertama, manakala, sebanyak tujuh orang peserta terlibat dalam fasa kedua. Dapatan kajian fasa pertama menunjukkan keempat-empat konstruk berada pada tahap agak tinggi (kejelasan dwi-peranan: M=4.70 , SD=.32; penglibatan dwi-peranan: M=4.71 , SD=.35; keseimbangan kerja-keluarga: M=4.42, SD=.46; kesejahteraan rumah tangga: M=4.58, SD=.50) namun keseimbangan kerja-keluarga mendapat skor yang paling rendah. Walaubagaimanapun, dalam analisis hubung kait, kejelasan dwi-peranan tidak menunjukkan hubungan signifikan terhadap kesejahteraan rumah tangga, manakala, penglibatan dwi-peranan dan keseimbangan kerja-keluarga kedua-duanya menunjukkan hubungan positif yang signifikan terhadap kesejahteraan rumah tangga. Dapatan pada fasa kedua pula menghasilkan lima komponen (pegangan, nilai murni, komunikasi, kekuatan hubungan dan pengurusan) yang dikategorikan kepada dua dimensi kemahiran; intrapersonal dan interpersonal. Lima komponen ini menjadi asas kepada kejelasan dwi-peranan, penglibatan dwi-peranan dan keseimbangan kerja-keluarga demi mengukuhkan kesejahteraan rumah tangga. Limitasi kajian ini adalah dalam jurang sampel data. Majoriti besar sampel kajian ini adalah wanita, golongan sosioekonomi M40, berpendidikan tinggi, dalam lingkungan umur 30-an dan tempoh perkahwinan purata enam hingga 15 tahun. Kesimpulan akhir kajian mendapati; [1] terdapat cabaran dalam mengimbangi kerja dan keluarga oleh golongan sampel ini; [2] kedua-dua kemahiran intrapersonal dan interpersonal diperlukan dalam menjayakan sesebuah rumah tangga; [3] berlaku peralihan perubahan peranan dalam kalangan golongan sampel ini di mana adalah kebiasaan suami juga berperanan dalam kerja-kerja domestik apabila isteri terlibat sama dalam menyumbang isi pendapatan rumah; [4] kejelasan, penglibatan dan keseimbangan peranan berlaku apabila ada kesedaran namun kesedaran datang melalui ilmu pengetahuan, maklumat dan pendedahan; [5] pegangan (keimanan) adalah elemen yang terpenting bagi seorang Muslim yang membawa kepada aspek nilai, komunikasi, hubungan dan pengurusan yang baik, di mana menjadi asas kepada kejelasan, penglibatan dan keseimbangan peranan. Oleh itu, lanjutan kajian pada masa hadapan boleh mengambil kira kesemua hasil dapatan, limitasi dan kesimpulan kajian ini untuk mendapatkan kajian yang lebih terangkum dalam rangka membentuk model atau modul solusi bagi kelestarian kesejahteraan rumah tangga suami-isteri berkerjaya.