Indeks Malaysia Negara Rahmah 2023

Kongsikan artikel ini

Rumusan

Pendekatan Negara Rahmah adalah usaha untuk membangun sebuah negara dalam bentuk baharu yang maju, makmur, aman dan damai yang ditadbir oleh kepemimpinan yang kompeten, cekap, berkebolehan dan berintegriti, melaksanakan tadbir urus yang baik, keadaan dan kehidupan masyarakat yang harmoni, sejahtera, dan bertamadun, pelaksanaan dasar dan undang-undang yang adil dan saksama merentas sempadan agama, etnik, dan budaya, serta berperanan aktif di peringkat antarabangsa. Pembangunan negara secara holistik ini boleh dilihat dari gabungan 12 Ciri Negara Rahmah yang telah dibangunkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Satu kayu ukur yang dikenali sebagai Indeks Negara Rahmah telah dibangunkan untuk mendapatkan persepsi masyarakat dalam menilai pencapaian dan kemajuan pembangunan negara ini melalui 12 ciri tersebut. Indeks ini dibangunkan bersama beberapa wakil pertubuhan sivil, masyarakat madani, wakil daripada pelbagai agama dan etnik, serta pihak akademia dalam pelbagai bidang. Inventori indeks ini ditulis dalam Bahasa Melayu yang mengandungi 12 Ciri Negara Rahmah, 30 indikator pencapaian dan 103 item bersama 10 soalan mengenai profil responden.

Indeks Malaysia Negara Rahmah bagi tahun 2023 atau IMNR’23 bertujuan untuk mengukur progres kemajuan usaha dan inisiatif pelbagai pihak dalam usaha pembentukan Malaysia menjadi sebuah Negara Rahmah berdasarkan 12 Ciri-Ciri berkenaan, bagi tahun 2023.

Kajian IMNR’23 telah dijalankan di seluruh negara bermula pada awal September 2023 hingga Oktober 2023, yang melibatkan seramai 3,192 responden yang merangkumi warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas, mempunyai tahap pendidikan pasca SPM dan terdiri daripa- da masyarakat berbilang kaum yang menetap di Malaysia. Responden telah dipilih menggunakan pendekatan persampelan berstrata (strata negeri dan strata daerah) serta persampelan mudah yang memenuhi kriteria kaum, jantina dan usia.

Kaji selidik IMNR’23 dibuat secara bersemuka oleh pembanci terlatih yang dipecahkan kepada tiga kumpulan iaitu di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Pembanci diberi pilihan untuk menggunakan inventori bercetak dan kemudiannya memindahkan maklumat ke pangkalan data menggunakan perisian Survey Monkey atau terus mengisi inventori IMNR secara atas talian. Indeks IMNR diukur melalui skor 0 hingga 10, dengan nilai 0 membawa maksud paling rendah dan skor 10 membawa maksud paling tinggi.

Hasil dapatan kajian mencatatkan pencapaian IMNR’23 berada pada tahap sederhana dengan skor pencapaian sebanyak 7.24. Ia merupakan peningkatan pencapaian yang ketara apabila dibandingkan dengan skor IMNR’22 (6.47) dan IMNR’21 (6.09).

Bagi IMNR’23, tiga ciri yang mencatatkan skor yang tertinggi adalah Ciri 6 Institusi Keluarga Yang Utuh (7.98), Ciri 12 Menerajui Usaha Keamanan Dan Kesejahteraan Sejagat (7.93); dan Ciri 5 Masyarakat Yang Berilmu, Berakhlak Dan Penyayang (7.72). Manakala, Ciri 9 Agihan Kekayaan Yang Saksama (6.14) mencatatkan skor terendah, walaupun nilai skornya masih lebih baik berbanding skor pada ciri yang sama pada tahun sebelumnya.

Kesemua ciri telah menunjukkan peningkatan skor antara 0.19 hingga 1.27 mata, yang dapat dilihat dalam bentuk peralihan yang sistematik, di mana peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Ciri 12 Menerajui Usaha Keamanan Dan Kesejahteraan Sejagat dari 6.66 kepada 7.93, diikuti dengan Ciri 3 Tadbir Urus Yang Baik dengan skor dari 5.68 kepada 6.86. Hanya Ciri 7 Hubungan Etnik Dan Penganut Agama Yang Harmoni yang menguncup dari 7.40 kepada 7.13.

IMNR’23 menunjukkan satu pergerakan positif negara ke arah mencapai wawasan Malaysia MADANI dan menjadi sebuah Negara Rahmah pada tahun 2035. Dapatan IMNR’23 diharapkan dapat dijadikan skor penanda aras dalam menilai keberkesanan usaha membangunkan negara secara holistik.

Penyelidik

Dr Hj. Mustafa Din Subari (Ketua) Hj. Rozalli Hashim Dr Diana Katiman Sr Hj. Mohd Khairudin Abd. Halim Prof. Dr Ahmad Hariza Hashim Sr Dr Noordin Ahmad Dr Maisarah Tajuddin Cik Siti Zaharah Yahya

Muat Turun