Keselamatan jalan raya memberi kesan besar kepada masyarakat dan ekonomi negara. Pada tahun 2023, Malaysia mencatat hampir 600,000 kemalangan dengan 6,080 kematian, dengan purata 17 hingga 18 kematian sehari. Selangor merekodkan jumlah tertinggi, diikuti oleh Johor dan Kuala Lumpur. Kawasan selekoh dan garis berkembar menunjukkan kadar kematian tinggi, memerlukan peningkatan kejuruteraan jalan. Dari segi ekonomi, setiap kematian menyebabkan kerugian RM3.12 juta, dengan jumlah keseluruhan melebihi RM56 juta sehari.
Cabaran utama adalah faktor manusia, dengan 80.6% kemalangan berpunca daripada kecuaian seperti pemanduan agresif dan penggunaan telefon bimbit. Kepatuhan kepada peraturan hanya 36% – 42%, menunjukkan perlunya penguatkuasaan lebih ketat. Isu-isu lain termasuk kelemahan infrastruktur dan latihan pemanduan.
Strategi yang dicadangkan termasuk penggunaan teknologi pintar (kamera AI dan IoT), pendekatan kesedaran berasaskan emosi, libat urus komuniti, pemantauan berterusan serta pendekatan keagamaan menggunakan Maqasid Syariah. Dengan tindakan kolektif melibatkan kerajaan, masyarakat, dan sektor swasta, Malaysia mampu mengurangkan kadar kemalangan dan meningkatkan keselamatan jalan raya.