Kajian Dasar IKRAM (KADRI) dengan kerjasama Musleh Early Childhood Education (ECE), Centre of Learning Excellence telah menganjurkan wacana ilmiah bertajuk “Gajet & Skrin: Kesan kepada Si Kecil” pada 16 April 2025 bagi membincangkan impak penggunaan skrin terhadap perkembangan awal kanak-kanak. Sesi dimoderatkan oleh Dr. Alwani Ghazali, dengan panel jemputan Puan Hjh Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar (Perunding Psikologi Klinikal) dan Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman (UPM).
Perbincangan menekankan tempoh kritikal perkembangan otak kanak-kanak 0–5 tahun serta kesan negatif pendedahan skrin tanpa kawalan terhadap keupayaan kognitif dan emosi. Puan Azlina turut berkongsi peningkatan kes gangguan tumpuan dan masalah tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak sejak 10–15 tahun lalu.
Panel menyarankan pendekatan holistik yang melibatkan ibu bapa, pendidik dan pembuat dasar dalam menangani isu ini. Negara seperti Kanada, Jepun dan Australia telah mengeluarkan garis panduan penggunaan gajet, namun Malaysia masih belum mempunyai dasar rasmi. Selain itu, kajian tempatan masih bersifat jangka pendek dan memerlukan penyelidikan longitudinal bagi memahami kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan kanak-kanak. Berdasarkan dapatan wacana ini, KADRI akan menerbitkan satu ringkasan polisi sebagai panduan awal ke arah dasar yang lebih komprehensif.