Abstrak
Zakat, Wakaf dan Infak merupakan instrumen kewangan sosial berasaskan sedekah yang memainkan peranan penting dalam ekonomi Islam bagi mewujudkan kesejahteraan ekonomi dan pembangunan ummat secara menyeluruh. Kepentingan menerapkan amalan sedekah dalam kalangan masyarakat Islam merupakan satu proses pendidikan yang dapat melahirkan generasi yang menghayati nilai keagamaan, tolong menolong, kebajikan dan ihsan. Namun demikian, penglibatan masyarakat islam dalam amalan sedekah masih di tahap yang rendah khususnya zakat dan wakaf. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor penentu yang mempengaruhi niat dan tingkah laku sedekah dalam kalangan masyarakat Islam serta mencadangkan satu kerangka konseptual tingkah laku sedekah masyarakat Islam. Kajian menggunakan “Pendekatan Gabungan” (mix metode) iaitu kualitatif dan kuantitatif. Kajian kualitatif menggunakan kaedah tinjauan literatur dan perbincangan meja bulat (RTD) yang melibatkan 10 Orang pegawai kerajaan, pegawai NGO dan pakar akademik. Manakala, kajian kuantitatif menggunakan kaedah survey dengan melakukan kajian pra-uji terhadap 30 orang sampel di daerah Hulu Langat. Data-data diperolehi dianalisis secara analisis kandungan dan analisis kebolehpercayaan (Cronbach Alpha). Hasil analisis tinjauan kajian lepas dan RTD mendapati Teori Tingkah laku Terancang (TPB) merupakan teori yang paling kerap digunakan sebagai landasan kajian lepas berkaitan tingkah laku sedekah. TPB terbina dengan konstruk niat sebagai pemboleh ubah bersandar manakala pemboleh ubah bebas diwakili oleh sikap, norma subjektif dan kawalan tingkah laku. Dimensi keagamaan, pengetahuan, pengurusan institusi dan faedah cukai digabung menjadi faktor pelengkap yang disarankan di dalam kajian literatur untuk melengkapi kerangka konseptual kajian ini. Kekuatan pembentukan kerangka konseptual ini ialah penekanan terhadap horizon Islam. Seterusnya, hasil dapatan analisis kebolehpercayaan yang diperoleh daripada kajian rintis menunjukkan kesemua konstruk mempunyai nilai ketekalan kebolehpercayaan (Cronbach Alpha) di atas 0.80 yang sangat baik dan efektif. Dapatan ujian akan memandu kepada kajian sebenar bagi membangunkan model tingkah laku sedekah dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.
Senarai Penyelidik
Mohammad Abdul Hamid • Mohamad Adli Baco • Maisarah Tajuddin