Projek Rintis Model Solusi Ekonomi Memperkasakan Kehidupan Komuniti Bandar (PERKASA)

Kongsikan artikel ini

Abstrak

Kemiskinan bandar adalah isu kompleks yang semakin meruncing di Malaysia, melibatkan ketersisihan komuniti miskin bandar dalam aspek pekerjaan, pendidikan, kesihatan, dan kemudahan asas. Cabaran ini menyebabkan ketidaksamaan ekonomi, kemerosotan pendidikan, dan ketidakstabilan sosial yang merencatkan perkembangan komuniti bandar secara menyeluruh. Oleh itu, penyelesaian berbentuk model solusi yang holistik dan berkesinambungan amat diperlukan untuk memecahkan kitaran kemiskinan ini dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat bandar. 

Program PERKASA diperkenalkan sebagai model solusi untuk menangani masalah kemiskinan bandar. Projek rintis ini bermatlamat meningkatkan taraf hidup komuniti miskin bandar untuk mencapai kesejahteraan dalam pelbagai aspek kehidupan berpandukan tiga objektif utama bagi program ini iaitu: (1) menambah baik kemahiran dan keupayaan supaya dapat meningkatkan produktiviti komuniti bandar, (2) meningkatkan kebolehan pengurusan perniagaan dan pemasaran yang bersesuaian untuk meningkatkan pendapatan dan (3) meningkatkan jati diri dan kesejahteraan keluarga ke arah kehidupan yang lebih berkualiti dan mandiri. 

Projek rintis ini menggunakan pendekatan intervensi melalui pelaksanaan di kawasan terpilih. Model ini melibatkan kursus kemahiran, bimbingan perniagaan, dan sokongan keluarga serta komuniti. Penilaian keberkesanan dibuat melalui soal selidik, pemantauan, dan penilaian hasil program. Pelaksanaan projek rintis ini telah membuktikan keberkesanannya sebagai model solusi yang holistik. Peningkatan ketara dilihat dalam aspek kemahiran, pengurusan perniagaan, kewangan, dan pengurusan keluarga. Projek ini turut membantu peserta menjana pendapatan bulanan yang lebih tinggi. Secara keseluruhan, ia membentuk komuniti yang lebih inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran sosioekonomi. 

Model solusi ini masih terhad kepada beberapa kawasan terpilih, dan tempoh pelaksanaan yang pendek menjadikannya sukar untuk menilai kesan jangka panjang. Pelaksanaan di kawasan-kawasan lain diperlukan untuk memahami impak terhadap komuniti di kawasan lain. Sebagai model solusi, Program PERKASA menunjukkan potensi besar untuk diaplikasikan secara meluas di seluruh negara. Sokongan berterusan daripada pihak berkepentingan amat diperlukan untuk memastikan keberhasilannya. Dengan penglibatan pelbagai pihak, matlamat membasmi kemiskinan bandar dapat dicapai, seterusnya meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti miskin bandar.

 

Senarai Penyelidik

Ainullotfi Abdul Latif • Faridah Maludin • Nur ‘Adilah Hassan • Ismail Shaffiee • Fatkurradzi Jamil

Rumusan

Penyelidik