Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti model-model Sistem ekonomi berasaskan sedekah (SEBS) yang telah dilaksanakan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan institusi-institusi di bawahnya. Kajian ini menunjukkan bagaimana sedekah dalam ertinya yang luas, dalam bentuk kewangan mahupun sumber manusia, dapat digabungkan dengan pembangunan kapasiti untuk mencapai impak ekonomi dan sosial yang mampan. Menggunakan reka bentuk kajian kualitatif, data dikumpulkan melalui analisis dokumen dan temubual sumber serta kajian kes beberapa inisiatif IKRAM seperti program IMPAK, institusi Hidayah Centre Foundation (HCF), Yayasan IKRAM (yaIKRAM), MyCare dan lain-lain menggunakan analisis model Input-Output-Hasil(Outcome)-Impak(I-O-O-I).
Dapatan kajian menunjukkan bahawa sumbangan sedekah bukan sahaja memenuhi keperluan segera penerima manfaat namun turut mampu meningkatkan taraf hidup mereka sama ada dari sudut ekonomi, sosial mahupun pendidikan. Hasil kajian menunjukkan potensi SEBS untuk menyumbang ke arah pembangunan ekonomi yang inklusif, selaras dengan prinsip Islam dan matlamat pembangunan mampan yang diadvokasikan oleh IKRAM melalui visi Malaysia Negara Rahmah. Kajian ini memberikan sumbangan praktikal dalam memahami pelaksanaan SEBS dalam IKRAM dan institusi-institusinya, sekali gus mencadangkan model-model solusi yang boleh dilaksanakan oleh pihak berkepentingan, khususnya kerajaan serta pihak-pihak lain untuk memperluas impak sosial dan ekonomi kepada masyarakat dalam mencapai Malaysia negara Rahmah.
Senarai Penyelidik
Mohammad Abdul Hamid • Munirah Mazlan • Anas Hasbullah