Isu Pembantutan Dalam Kalangan Kanak-Kanak Di Malaysia

Kongsikan artikel ini

Rumusan

Pembantutan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia merupakan salah satu masalah malnutrisi yang perlu diberi perhatian sewajarnya dan perlu ditangani segera. Hal ini kerana ia boleh menjadi satu pemakanan kitaran hidup yang terus berulang sekiranya usaha pencegahan dan advokasi diabaikan. Pelbagai faktor yang menyumbang kepada isu bantut termasuk faktor mikro dan makro yang perlu diteliti. Seterusnya, bantut akan memberi implikasi jangka panjang terhadap kehidupan individu dan masyarakat termasuk gangguan pertumbuhan fizikal, perkembangan kognitif, pencapaian akademik, menurunkan produktiviti, dan menyumbang kepada penyakit kronik ketika dewasa nanti.
Oleh itu, IKRAM meyakini bahawa pertumbuhan fizikal dan kognitif kanak-kanak adalah dipengaruhi oleh status pemakanan dan kesihatan mereka. Satu cadangan model solusi perlu dihasilkan oleh IKRAM bagi membantu kerajaan menangani isu pembantutan di Malaysia yang menggunakan konsep memperkasakan komuniti (community empowerment). Model solusi yang dihasilkan terdiri daripada beberapa modul yang memfokuskan untuk membantu kesihatan ibu dan anak di samping membantu memperkasakan wanita dari segi menjana ekonomi keluarga. Sukarelawan dalam kalangan komuniti akan dilatih untuk membantu komuniti mereka sendiri meningkatkan pengetahuan berkaitan pemakanan dan kesihatan anak-anak.
Oleh itu, usaha sama daripada multi-sektor amatlah diperlukan bagi menjayakan program ini untuk menjamin keberhasilannya. Pertumbuhan kanak-kanak yang baik amat penting bagi menjamin tahap kesihatan optimum masyarakat Malaysia pada masa akan datang. Hal ini dapat menjamin pembangunan masyarakat yang progresif, sihat, sejahtera dan harmoni. Kerjasama dengan pemegang taruh bagi menjayakan model solusi dan diterapkan dalam komuniti diharap dapat membantu Malaysia menangani isu kebantutan dalam kalangan kanak-kanak.

Penyelidik

Prof Dr Norhasmah
Prof Dr Sahrim Ahmad
Dr. Norhasnida Zawawi
Nor Syaza Sofiah Ahmad

Muat Turun