Indeks Malaysia Negara Rahmah Nilai Tambah Ke Arah Perubahan

Kongsikan artikel ini

Telah diterbitkan di portal IKRAM, imej oleh IKRAM.

Skor Indeks Malaysia Negara Rahmah atau IMNR telah meningkat dari tahun ke tahun dengan skor 6.09 pada tahun 2021, 6.47 pada tahun 2022, kepada 7.24 pada tahun 2023. IMNR bertujuan untuk mengukur persepsi masyarakat terhadap pencapaian Malaysia menjadi negara Rahmah berdasarkan 12 ciri yang telah digariskan. 12 Ciri Negara Rahmah meliputi aspek tadbir urus, sosio-ekonomi serta peranan aktif Malaysia di peringkat antarabangsa. Indeks ini telah dibangunkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM). 

Bagi mendapatkan ulasan serta pandangan terhadap dapatan inisiatif ini, IKRAM telah menganjurkan tiga sesi diskusi dua hala bersama pakar pelbagai bidang.

Rajah 1. 12 Ciri Negara Rahmah. 

Kupasan setiap ciri boleh didapati di ikram.org.my/malaysia-negara-rahmah/

Skor Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni menurun

Merujuk kepada dapatan IMNR 2023, skor bagi semua ciri menunjukkan peningkatan yang baik iaitu di antara 0.19 ke 1.27 kecuali Ciri 7 iaitu Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni. Skor ciri ini meningkat daripada 6.92 (2021) kepada 7.40 (2022), tetapi menurun kepada 7.13 pada tahun 2023. Walaubagaimanapun, skor bagi ciri ini masih pada tahap sederhana. Manakala Ciri 6 iaitu Institusi Keluarga yang Utuh masih kekal mendapat skor tertinggi selama tiga tahun berturut-turut. Ciri 9 pula iaitu Agihan Kekayaan yang Saksama mencatatkan skor terendah dengan skor 6.14, namun meningkat sebanyak 0.19 daripada tahun sebelumnya.

Mengulas berkenaan penguncupan skor indeks Ciri 7, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian, Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM) bersetuju bahawa isu perpaduan di Malaysia tidak begitu teruk, tetapi isu ini dimainkan disebabkan keadaan politik yang berlaku ketika PRN pada Ogos tahun lalu. Tambah beliau, isu etnik atau agama ini biasa digunakan sebagai trump card semasa kempen politik apabila ada ketirisan sokongan, apatah lagi kebanyakan parti politik di Malaysia berteraskan etnik dan agama. Bagi meningkatkan indeks hubungan etnik ini, Prof. Dr. Sivamurugan berpendapat pemimpin perlu menunjukkan contoh sikap keterbukaan dalam mengendalikan perbezaan ideologi dan pendapat dengan mengadakan sesi-sesi perbincangan berskala kecil.

Ciri 12 iaitu Menerajui Usaha Keamanan Dan Kesejahteraan Sejagat menunjukkan skor dengan peningkatan paling tinggi, iaitu sebanyak 1.27; daripada skor 6.66 (2022) ke 7.93 (2023). Prof. Emeritus Dr. Jamal Othman, pensyarah serta penyelidik di Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari (SID), UKM, berkata usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10 dalam menyuarakan ketidakadilan dan genosid yang berlaku di Gaza secara lantang kepada pihak media lokal dan antarabangsa berkemungkinan memberi pengaruh besar kepada peningkatan skor ini. 

Media main peranan bentuk persepsi rakyat

Dengan peningkatan pada skor Ciri 8 (Ekonomi yang Mampan), 9 (Agihan Kekayaan yang Saksama) dan 10 (Pembangunan yang Lestari), Prof. Kehormat (Unimas) Dato’ Dr. Madeline Berma, Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), percaya bahawa peningkatan tersebut dipengaruhi oleh berita yang diwara-warakan dalam media massa ketika proses pengumpulan data kajian dilakukan. Sebagai contoh, pengumuman kenaikan gaji yang berlaku sekitar waktu kutipan data IMNR dilakukan pada September dan Oktober tahun lalu berkemungkinan mempengaruhi emosi dan persepsi rakyat lalu memberi kesan kepada peningkatan skor yang berkaitan. Tambah beliau lagi, masih banyak isu ekonomi yang berlegar dan mungkin boleh mempengaruhi persepsi rakyat tetapi tidak dibicarakan secara mendalam dalam IMNR termasuk kos sara hidup serta pertukaran matawang.

Ini menampakkan peranan penting media massa serta media sosial dalam membentuk persepsi rakyat terhadap satu-satu isu. Ada sebahagian isu yang berlegar di alam maya mempengaruhi persepsi sehingga ada yang mampu mengganggu gugat keharmonian. Prof. Dr. Sivamurugan menekankan peri penting usaha pendigitalan dalam membendung isu seperti ini. Katanya, golongan yang berliterasi dan berkemahiran perlu mengambil peranan menggunakan alam maya untuk membentuk persepsi yang betul kepada masyarakat.

Mengakui kepentingan peranan media massa, Puan Nathrah Mohamed Said, Penolong Pengarah Unit Media dan Penyiaran Bahagian Perancangan Strategik YADIM berkongsi inisiatif YADIM dalam menangani isu rasisme dengan mengeluarkan kenyataan media dengan mengambil kira pelbagai perspektif terutamanya apabila isu sensitif yang membabitkan mana-mana agama atau etnik.

IMNR perlu ditambah baik

Prof. Emeritus Dr. Jamal berpendapat tahap pendidikan responden mempengaruhi ruang lingkup pemikiran mereka seterusnya memberi kesan kepada persepsi dan jawapan responden dalam survei IMNR 2023. Beliau mencadangkan agar IKRAM menambah baik instrumen dengan menyediakan ruang kepada responden untuk memberikan input mengenai perkara yang mendasari jawapan mereka bagi memahami persepsi mereka secara lebih mendalam. 

Beberapa item tambahan juga dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam IMNR akan datang bagi mengambil kira lebih banyak aspek yang genting. Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen, Pengarah Kajian IKIM, mencadang untuk pertimbangkan aspek kesihatan mental untuk dimasukkan sebagai salah satu item dalam ciri 6 memandangkan kesihatan mental kini merupakan aspek yang sedang diambil perhatian oleh kerajaan. Dato’ Dr. Madeline dan Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz sama-sama bersetuju dengan keperluan untuk mendapatkan maklumbalas masyarakat mengenai keperluan asas seperti yang digariskan dalam Teori Keperluan Maslow dan Indeks Kebahagiaan termasuk pendidikan, pengangkutan awam serta tempat tinggal.

Dato’ Dr. Madeline berkata dapatan daripada indeks ini mempunyai limitasi kerana ia adalah data statik dan tidak sesuai digunakan untuk dalam perencanaan polisi. Begitu pun, jika data IMNR 2023 ini ingin digunakan oleh pembuat polisi, Dato Madeline percaya bahawa mereka mempunyai kemahiran dan kapasiti untuk merumuskan sesuai dengan bentuk data statik yang diterima. Untuk kajian datang, beliau mencadangkan untuk mendapatkan data near real time bagi memberi gambaran sebenar sepanjang tahun, agar tidak dipengaruhi oleh mana-mana isu yang hanya hangat pada satu-satu masa sahaja.

IMNR pantau proses Malaysia capai kesejahteraan

IMNR ini merupakan satu dimensi untuk kita memahami dan mendapatkan maklum balas daripada rakyat. Peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam negara disebar luas di media massa dan media sosial akan membentuk persepsi rakyat. Prof. Datuk Dr. Shamrahayu berpendapat persepsi tidak semestinya tepat dalam menggambarkan keadaan sebenarnya yang berlaku di lapangan, tetapi data indeks ini penting agar kita dapat memahami apa dan bagaimana rakyat melihat sesuatu isu.

Kajian IMNR ini telah melibatkan sebanyak 3192 responden merangkumi warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas, mempunyai tahap pendidikan pasca SPM dan terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Menurut Dr. Madeline, kekuatan IMNR adalah datanya dianalisis mengikut ciri demografi seperti etnik, jantina, umur, pendapatan, lokaliti tempat tinggal, dan tahap pendidikan. Ini memudahkan mana-mana pihak yang berminat pada mana-mana ciri IMNR untuk melihat skor ciri tersebut dengan lebih terperinci.

Prof. Emeritus Dr. Jamal pula merasakan IMNR adalah usaha murni yang dapat memberi informasi yang empirikal, melihat kepada metodologi, dan pengumpulan datanya iaitu secara persampelan berstrata (negeri dan daerah) serta persampelan mudah mengikut kaum, jantina dan usia. Menurut beliau, IMNR melibatkan responden yang memadai, maka hasil boleh diketengahkan kepada pembuat dasar untuk digunakan sebagai indikator atau untuk memantau proses perjalanan Malaysia untuk mencapai kesejahteraan secara umumnya.

Koordinasi usaha pelbagai agensi

Menurut Prof. Dr. Sivamurugan, hasil indeks ini harus direncanakan untuk sampai kepada kalangan agensi yang terlibat. Dengan pelbagai dapatan kajian, data, serta statistik yang telah wujud, perlu ada perancangan jangka masa pendek, sederhana, dan panjang dalam apa sahaja tindakan yang mahu diambil. Pelaksanaan dan pemantauan juga penting bagi menambah baik inisiatif-inisiatif yang diwujudkan.

12 Ciri Negara Rahmah ini pastinya perlu melibatkan semua kementerian dan agensi bukan sahaja di peringkat persekutuan, tetapi juga di peringkat negeri dan peringkat kerajaan tempatan. Kata Prof. Dr. Sivamurugan, koordinasi sesama agensi yang terlibat penting bagi mengelakkan daripada agensi bekerja secara berasingan. Jika hanya satu agensi yang terlibat, sukar untuk mencapai hasrat negara Rahmah berdasarkan kesemua 12 ciri yang disenaraikan.

Prof. Dr. Sivamurugan menegaskan, “Jika wujud koordinasi, saya percaya indeks ini akan mampu untuk memberi nilai tambah serta merangsang ke arah perubahan dan pembaharuan yang mahu dibawa ke atas masyarakat sebagaimana yang mahu diusahakan oleh IKRAM.”

Kajian IMNR telah dijalankan selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2021. Laporan penuh IMNR 2023 boleh didapati di sini.