Ringkasan Polisi Bil. 3 | Mei 2025
Kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pemacu utama perubahan global, termasuk dalam bidang pendidikan, pentadbiran dan urusan agama. Di Malaysia, usaha telah dimulakan melalui model ILMU (YTL), MaLLaM (Mesolitica), dan NurAI yang dikatakan selari dengan syariah (Syariah-Aligned). Potensi AI sangat besar untuk memperkukuh pembelajaran, dakwah, dan pengurusan agama. Namun, ia juga membawa risiko serius seperti bias algoritma, kebocoran data, krisis taklik masyarakat kepada mesin, serta jurang kefahaman konteks tempatan. Bagi memastikan AI memberi manfaat tanpa menjejaskan integriti agama, diperlukan kerangka dasar nasional yang menyeluruh. Langkah ini mesti merangkumi pembangunan garis panduan AI Islamik, penubuhan majlis penasihat syariah dan teknikal, penginstitusian proses latihan AI (pelarasan halus, penapisan data, intervensi manusia, pengauditan), integrasi AI dalam pendidikan dan dakwah, perlindungan privasi data, serta peningkatan literasi digital masyarakat. Dengan pendekatan proaktif, Malaysia berpotensi menjadi peneraju AI Islamik global yang berteraskan maqasid syariah, selamat dan bermanfaat untuk umat.