Penyelidikan yang dilaksanakan di Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang ini secara khususnya adalah untuk menjadi pemangkin ekonomi penduduk setempat melalui 13 homestay yang cuba diperkasakan melalui penyelidikan ini. Melalui penyelidikan ini didapati pengusaha homestay memiliki masalah untuk mempromosi perkhidmatan mereka. Penemuan tersebut telah membuatkan pasukan penyelidik cuba membantu dengan melancarkan satu laman sesawang untuk menarik minat pelancong untuk melancong ke Pulau Betong dan secara tidak langsung mempromosi homestay yang terdapat di kawasan tersebut. Selain itu, pasukan penyelidik juga telah memperkenalkan tujuh pakej pelancongan untuk menarik minat pengunjung ke Pulau Betong sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk selain daripada menawarkan perkhidmatan homestay yang sedia ada. Diharapkan dengan adanya usaha daripada penyelidikan ini, pendapatan penduduk di Pulau Betong khususnya dapat ditingkatkan berbanding sebelumnya.