Pendekatan Negara Rahmah adalah usaha untuk membangun sebuah negara dalam
bentuk baharu yang maju, makmur, aman dan damai yang ditadbir oleh pimpinan yang
kompeten, cekap, berkebolehan dan berintegriti, melaksanakan tadbir urus yang baik,
keadaan dan kehidupan masyarakat yang harmoni, sejahtera dan bertamadun,
pelaksanaan dasar dan undang-undang yang adil dan saksama merentas sempadan
agama, etnik dan budaya, serta berperanan aktif di peringkat antarabangsa.
Pembangunan negara secara holistik ini boleh dilihat daripada gabungan 12 Ciri Negara
Rahmah yang telah dibangunkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Untuk menilai pencapaian dan kemajuan pembangunan negara ini melalui 12 ciri tersebut,
satu kayu ukur yang dikenali sebagai Indeks Negara Rahmah telah dibangunkan bersama
beberapa wakil daripada pertubuhan sivil, masyarakat madani, wakil daripada pelbagai
agama, etnik serta pihak akademia dalam pelbagai bidang. Inventori indeks ini adalah
dalam Bahasa Melayu yang mengandungi 12 Ciri Negara Rahmah, 30 indikator pencapaian
dan 103 item bersama 10 soalan mengenai profil responden.
Tiga ciri yang mendapat skor tertinggi adalah Institusi Keluarga Yang Utuh (7.66), Hubungan
Etnik Dan Penganut Agama Yang Harmoni (7.40), dan Masyarakat Yang Berilmu, Berakhlak
Dan Penyayang (7.32). Manakala, ciri-ciri yang mendapat skor terendah adalah Tadbir Urus
Yang Baik (5.68), Ekonomi Yang Mampan (5.78), Kepimpinan Yang Kompeten Dan
Berintegriti (5.80), dan Agihan Kekayaan Yang Saksama (5.95).
Secara umumnya, ciri-ciri berkaitan dengan rakyat mendapat skor yang lebih tinggi
berbanding dengan ciri-ciri berkaitan pemimpin dan tadbir urus negara.
Kesemua ciri kecuali Ciri 12 Menerajui Usaha Keamanan Dan Kesejahteraan Sejagat, telah
menunjukkan peningkatan skor antara 0.1 hingga 0.8 mata. Ciri 12 ini menguncup dari 6.78
(IMNR21) kepada 6.66 (IMNR22), mungkin disebabkan kurangnya kelantangan Malaysia di
peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan isu-isu global.
Peningkatan keseluruhan skor IMNR22 (6.47) berbanding skor IMNR21 (6.09), menunjukkan
pergerakan positif negara ke arah mencapai wawasan menjadi sebuah negara rahmah
pada tahun 2035 boleh menjadi satu kenyataan.
Semoga dapatan IMNR22 ini akan memberikan pendedahan kepada semua pihak
berkepentingan khususnya kerajaan dan pucuk pimpinannya, berkaitan tanggapan
semasa masyarakat umum terhadap situasi semasa negara, untuk seterusnya
meningkatkan lagi usaha-usaha penambahbaikan bagi setiap 12 Ciri Negara Rahmah.